Sunday, July 26, 2009

Kata Adverba

KATA ADVERBA

Dalam ruangan ini bulan lalu, saya telah menerang¬kan kedudukan kata adver¬ba dalam bahasa Melayu, dengan memberikan contoh penggunaan¬nya dalam ayat. Telah dinyatakan bahawa kata adverba ialah per¬kataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif dan frasa sendi nama. Ditunjukkan juga bahawa kata adverba boleh terdiri daripa¬da kata tunggal, kata terbitan dan kata ganda, dan boleh juga digo¬longkan ke dalam golongan kata lain. Sebagai sambungan, ruangan pada kali ini akan menghuraikan satu lagi ciri kata adverba serta juga bentuk-bentuknya.
Satu sifat kata adverba ialah kata ini boleh hadir dalam ayat dalam dua kedudukan, iaitu sama ada sebelum unsur yang diterangkan atau selepas unsur yang diterang¬kan. Contoh kata adverba sebelum unsur yang diterangkan ialah: selalu memperkatakan hal itu, sentiasa sihat, dan serta-merta ke pejabat. Contoh kata adverba selepas unsur yang diterangkan pula ialah: tiba semalam, malu tersipu-sipu, dan di rumah ber¬sendirian.
Kata adverba dapat digolongkan kepada empat bentuk, iaitu: i) kata adverba jati; ii) kata adverba yang asalnya kata adjektif; iii) kata adverba yang asalnya kata kerja; dan iv) kata adverba bentuk kata ganda.
Kata adverba jati terdiri daripada perkataan yang sememangnya berfungsi sebagai penerang kepada golongan kata yang terdiri dari¬pada kata kerja dan frasa kerja, kata adjektif dan frasa adjektif, dan frasa sendi nama yang tidak tergolong ke dalam mana-mana golongan kata lain. Contoh kata adverba jati ialah; tiba kelmarin, menulis begini, kerap kali bertegur sapa, nyaris tertembak, sering kali sakit, barangkali betul, dan sempat ke rumah neneknya.
Semua perkataan di atas memang tidak dapat digolongkan ke dalam golongan kata yang sedia ada (kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata tugas). Itulah sebab perkataan-perkataan begini, yang sememangnya menerangkan kata kerja, kata adjektif dan frasa sendi nama, digolongkan sebagai kata adverba. Dalam Tatabahasa Dewan, golongan kata adverba dimasukkan sebagai satu lagi sub¬golongan di bawah "kata tugas".
Bentuk kedua ialah kata adverba yang asalnya kata adjektif. Kata adverba yang asalnya kata adjektif ialah perkataan yang berasal dari¬pada golongan kata adjektif tetapi yang menerangkan kata kerja, kata adjektif dan frasa sendi nama. Kata-kata adverba jenis ini juga dapat hadir di hadapan dan selepas perkataan yang diterangkannya. Contoh kata adverba jenis ini; bertiup kencang, ketawa besar, hampir terjatuh, sakit kuat, besar panjang, tinggi lampai, segera ke pejabat, di rumah selalu, dan se-ring di kolam renang.
Kata adverba bentuk ketiga, kata adverba yang asalnya kata kerja ialah kata adverba yang berasal daripada kata kerja tetapi berfung¬si sebagai unsur penerang kepada kata kerja, kata adjektif dan frasa sendi nama. Contoh kata adverba yang asal¬nya kata kerja: berjalan mengi-ring, terbang mengawan, hitam berkilat, putih berseri, di rumah bersendirian ke hutan berse-orangan. Secara bandingan, jum¬lah kata adverba jenis ini tidak terlalu besar.
Bentuk kata adverba yang terakhir ialah yang mengalami pro-ses penggandaan, sama ada peng¬gandaan penuh, penggandaan separa atau penggandaan berentak. Fungsinya, seperti kata adverba lain, adalah untuk menerangkan kata kerja, kata adjektif dan frasa sendi nama. Contoh kata adverba berbentuk kata ganda penuh; pura-pura tidak dengar, jarang-jarang datang, duduk diam-diam, betul-betul marah, dan sama-sama ke pekan. Contoh kata adverba berbentuk kata ganda separa berawalan, ting¬gal bermalam-malam, jangan sekali-kali berbohong, dikenang selama-lamanya; dan penggan¬daan separa berakhiran, menari gila-gilaan, berniaga kecil-kecil-an, mati-matian memperta¬hankan tanah air. Contoh kata adverba berbentuk kata ganda berentak ialah mena-ngis sedu-sedan, lari lintang-pukang, dan berjalan mundar-mandir.
Perhatikan bahawa semua ben¬tuk kata adverba ini dapat hadir di hadapan dan juga di belakang perkataan yang diterangkannya.
Dalam buku Tatabahasa Dewan, golongan kata ini dimasukkan dalam kategori kata tugas, yakni kata adverba tidak dianggap golongan kata utama (tidak seperti kata nama, kata kerja, dan kata adjektif). Namun fungsinya dapat dilihat dengan jelas dalam peng¬gunaan bahasa Melayu kini.

No comments:

Post a Comment