LARAS BAHASA
Perbincangan mengenai laras bahasa tidak dapat terlepas daripada membincangkan dua konsep, iaitu pengguna dan penggunaan. Pengguna ialah orang yang menggunakan sesuatu bahasa dan penggunaan ialah bagaimana sesuatu bahasa itu digunakan dengan cara yang berbeza-beza, misalnya dialek Kelantan, Melaka, Sarawak dan sebagainya.
Penggunaan bahasa yang berbeza-beza ini melahirkan laras. Ini disebabkan penggunaan bahasa yang berbeza-beza berdasarkan situasi dan faktor lain melahirkan kata-kata yang berbeza mengikut keadaan. Misalnya kata-kata yang digunakan untuk bergurau-senda adalah berbeza daripada kata –kata yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu ucapan. Oleh itu, bolehlah dirumuskan bahawa penggunaaan bahasa yang berbeza-beza berdasarkan faktor-faktor sosial seperti keadaan dan tempat, disebut sebagai laras bahasa atau laras sosial. Manakala penggunaan bahasa yang berbeza-beza berdasarkan faktor geografi atau daerah disebut sebagai dialek daerah. Rajah di bawah menunjukkan kedudukan laras bahasa dalam variasi bahasa.
KONSEP DAN DEFINISI LARAS BAHASA
Laras didefinisikan sebagai kelainan bahasa yang digunakan oleh penutur dalam kehidupan sehari-harian. Seseorang penutur akan mengubah laras bahasa bergantung kepada situasi sesuatu peristiwa bahasa itu berlangsung. Misalnya dengan siapa dia bercakap, tajuk yang perkatakan/dibincangkan, suasana formal ataupun tidak formal dan penggunaan medium, sama ada secara lisan atau tulisan. Beberapa orang pengkaji telah mengemukakan pendapat mereka tentang laras.
Nik Safiah Karim (1982 :1) menyatakan
Laras bermaksud gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa - Sesuatu laras bermaksud variasi bahasa yang boleh dipilih daripada sekumpulan variasi yang ada pada tiap-tiap penutur.
Abdullah Hassan (1989 :26) pula menyatakan laras seperti yang berikut :
Pemakaian kata-kata tertentu yang sesuai dengan konteksnya itu adalah sesuatu yang dikatakan laras bahasa. Pemakaian laras bahasa yang sesuai itu adalah dianggap pengolahan bahasa yang baik. Ada hubungan rapat antara isi, perkara yang dibincangkan dengan laras bahasa yang digunakan untuk membincangkannya.
Halliday (1968:149) pula mendefinisikan laras sebagai variasi bahasa yang berdasarkan fungsi. Halliday (1985) melihat laras daripada tiga dimensi, iaitu tajuk wacana, cara penyampaian, dan gaya penyampaian.
Ure & Ellis (1977) – menganggap laras sebagai sejenis ‘ Language patterning regularly used in a certain kind of situation’ (laras sebagai jenis-jenis bahasa yang digunakan mengikut situasi-situasi yang berlainan).
Berdasarkan definisi-definisi yang telah diberikan oleh ahli-ahli bahasa, sama ada ahli-ahli bahasa tempatan ataupun barat dapat dirumuskan bahawa laras bahasa merupakan variasi bahasa yang berbeza-beza bentuk dan penggunaannya mengikut situasi tertentu dan bidang tertentu.
CIRI LARAS BAHASA
Menurut Ure & Ellis (1977), penggunaan laras bahasa yang berlainan ditentukan oleh dua faktor utama, iaitu:
1 Ciri Keperihalan
2 Ciri Linguistik
1 CIRI KEPERIHALAN
Terbahagi kepada 2 jenis, iaitu:
A) Situasi Luaran
B) Situasi Persekitaran
A) Situasi Luaran – bermaksud latar belakang sosial dan kebudayaan sesuatu masyarakat bahasa yang merangkumi struktur sosial dan keseluruhan cara hidup yang menentukan perlakuan-perlakuan anggota masyarakat.
■ Contoh, huraian tentang laras bahasa Melayu lama hendaklah dikaitkan dengan situasi istana dan tradisi sastera lisan.
B) Situasi Persekitaran – Mencakupi aspek-aspek terlibat secara langsung dalam penggunaan bahasa.
■ Terdapat banyak aspek situasi persekitaran yang mengakibatkan bahasa yang berlainan, yakni yang menimbulkan laras berlainan. Antaranya :
i). Cara penyampaian
■ Bentuk perhubungan yang digunakan, termasuklah jenis bahasa yang bersifat tulisan, lisan, isyarat dan sebagainya.
■ bahasa lisan berbeza daripada bahasa tulisan.
■ Dalam bahasa tulisan terdapat pelbagai variasi seperti laporan, ucapan, esei , novel, cerpen,
ii).Perhubungan Sosial dan peribadi antara yang terlibat dalam sesuatu penggunaan bahasa.
■ Terdapat dua aspek iaitu :
a).Berasaskan perkaitan peribadi, perhubungan antara individu dengan individu sebagai anggota dalam masyarakat.
■ Terdapat pelbagai jenis hubungan peribadi.
■ Perhubungan paling mesra seperti hubungan kekasih, suami isteri dan rakan karib.
■ Hubungan peribadi formal seperti antara pekerja dengan majikan, yang berpangkat rendah dengan yang berpangkat tinggi.
b). Perhubungan yang tidak bersifat peribadi adalah seperti yang berlaku antara penghasil dan pembaca akhbar, buku dan majalah serta alat media lain.
iii) Bahan Yang Diperkatakan
■ Isi yang menjadi bahan perbincangan mewujudkan bahasa yang berlainan.
■ Melibatkan aspek yang luas, dari perkara biasa dalam kehidupan sehinggalah kepada bidang-bidang khusus yang memerlukan kemahiran yang tertentu seperti bidang sains dan teknologi.
iv). Fungsi-fungsi sosial perlakuan bahasa.
■ Perlakuan bahasa diperlukan oleh sebab bahasa ialah bahagian utama perlakuan
■ Perlakuan sosial, misalnya bahasa untuk menghasilkan sesuatu maksud, dalam upacara tertentu.
■ Dalam setiap situasi sosial terdapat penggunaan bahasa yang berlainan, dihasilkan oleh interaksi faktor-faktor seperti perbualan, orang yang terlibat dalam perbualan dan peranan situasi tersebut dalam masyarakat.
■ Misalnya bahasa digunakan untuk menghasilkan sesuatu maksud, bahasa dalam majlis tertentu seperti majllis akad nikah dan sebagainya.
2. CIRI LINGUISTIK
Terdapat tiga aspek yang perlu diperhatikan dalam aspek linguistik, iaitu aspek kata yang digunakan dalam sesuatu laras, aspek ayat dan ketenunan.
i) Aspek Kosa Kata
Aspek kosa kata ialah penggunaan kata dalam sesuatu laras, sama ada digunakan banyak istilah khusus, istilah umum ataupun gabungan kedua-duanya. Penggunaan istilah yang berlainan berdasarkan bidang akan dapat ditentukan jenis laras yang digunakan. Di samping itu, sesetengah laras menggunakan kata-kata pinjaman asing dan sebagainya. Pendek kata, dalam aspek kosa kata, segala aspek ayat akan dibincangkan untuk menunjukkan sesuatu laras itu mempunyai kata-kata tertentu yang berbeza daripada laras-laras lain.
ii) Aspek Ayat
Dalam aspek ayat penekanan ialah pada jenis dan juga binaan ayat yang digunakan dalam sesuatu laras. Sesetengah laras menggunakan banyak ayat majmuk dan kurang ayat tunggal manakala laras yang lain pula proses pengguguran banyak berlaku dalam ayat-ayat yang digunakan. Pendek kata, dalam aspek ayat segala perkara yang berkaitan dengan jenis dan binaan ayat akan dibincangkan.
iii) Aspek Ketenunan
Aspek ketenunan ialah keutuhan sesuatu laras sebagai sebuah teks. Ini berkaitan dengan unsur-unsur tertentu yang digunakan oleh laras sebagai kesatuan yang utuh ataupun sebaliknya. Sesetengah laras menggunakan unsur perulangan keratan rentas dan sebagainya untuk menunjukkan ketenunan sesuatu laras itu.
LARAS BAHASA MENURUT MAK HALLIDAY (1985)
Halliday (1985) pula mendefinisi laras bahasa sebagai variasi bahasa yang berbeza berdasarkan fungsi. Menurut beliau laras bahasa berubah-ubah mengikut situasi
Halliday melihat laras daripada tiga dimensi, iaitu tajuk wacana, cara penyampaian, dan gaya penyampaian.
Tiga Dimensi Laras (Halliday)
Tajuk wacana merujuk kepada bidang yang diperkatakan seperti biologi, perubatan, sukan, matematik dan sebagainya.
Bidang-bidang ini menentukan kosa kata dan istilah serta jenis ayat dan ragam ayat yang digunakan.
Jika wacana merupaan wacana ilmiah, maka ragam ayat pasif banyak digunakan untuk memberikan fokus kepada perkara yang dibincangkan.
Sebaliknya, jika wacana merupakan ulasan selari perlawanan bola sepak , ragam ayat aktif dengan ayat tunggal yang pendek-pendek banyak digunakan supaya sesuai dengan tempo perlawanan bola sepak berkenaan.
Cara penyampaian Sama ada wacana berkenaan disampaiakan secara lisan atau tulisan.
Jika lisan, sama ada teks tersebut merupakan wacana syarahan atau ucapan, perbahasan dan khutbah atau doa.
Jika tulisan sama ada berbentuk esei, laporan, surat rasmi atau surat peribadi, memorandum atau iklan.
Gaya penyampaian mengimbangi sama ada suatu ucapan berkenaan disampaikan dalam situasi formal atau tak formal.
Misalnya, ucapan, adakah ucapan itu disampaikan dalam majlis yang formal yang dihadiri oleh orang-orang kenamaan atau dif-dif.
Umumnya, berdasarkan bidang dan khalayak sasaran, laras bahasa dapat digolongkan kepada dua golongan besar, iaitu laras biasa dan laras khusus.
Laras biasa ialah laras khusus yang digunakan untuk masyarakat umum seperti bidang hiburan (laporan sukan, berita sukan), pengetahuan dan penerangan (syarahan, rencana), maklumat dan pemujukan (rencana, iklan).
Laras khusus pula merujuk kepada kegunaan untuk khalayak khusus seperti ahli-ahli atau peminat dalam bidang tertentu dan pelajar-pelajar (rencana, laporan, buku).
Pembeza utama yang membezakan antara laras biasa dengan laras khusus ialah:
kosa kata
tatabahasa
gaya
JENIS-JENIS LARAS BAHASA
Laras Biasa
Laras ini merupakan penggunaan bahas ayang tidak membabitkan sebarang bidang ilmu atau konteks khusus. Ia biasanya digunakan dalam perbualan seharian. Oleh itu, laras biasa tidak mengandungi istilah atau pola yang khusus.
Contoh : Hai Mat ! Nak ke mana tu? Tak singgah dulu?
Laras Perniagaan
Laras jenis ini digunakan untuk mengiklankan jenama barangan yang ingin dijual. Gaya bahasa yang digunakan biasanya memujuk pendengar supaya membeli berangan menerusi cara penyampaian yang menarik sekali. Ayat yang digunakan pendek-pendek dan tidak gramatis.
Contoh : Percuma, sebiji lampu suluh bermutu tinggi dengan setiap pembelian minyak Unicorn empat liter.
Laras Ekonomi
■ Laras ekonomi berbentuk ilmiah.
■ menggunakan istilah-istilah teknikal
■ tidak mementingkan struktur ayat,
■ bersifat formal
■mementingkan susunan maklumat yang disampaikan dengan jelas dan eksplisit.
■ Setiap data dapat dihuraikan berdasarkan bukti dalam bentuk data dan statik.
Contoh: Jumlah dagangan negara melonjak ke tahap yang tertinggi sebanyak RM 880.37 bilion pada tahun 2004, didorong oleh sektor eksport yang turut merekodkan nilai terbesar dalam sejarah ekonomi negara.
Laras Akademik
Laras akademik boeh dibahagikan kepada beberapa bahagian berdasarkan bidang ilmu yang diperkatakan. Antaranaya laras sains, laras ekonomi, Laras sastera dan sebagainya. Laras ini kemudiannya terbahagi pula kepada beberapa sub-bidang yang terdapat dalam sesuatu bidang akademik. Misalnya, dalam bidang sains, terdapat laras kimia, biologi dan fizik.
Dalam bidang akademik, laras yang digunakan mudah dikesan dengan kehadiran istilah-istilah teknikal dan khusus yang berkaitan dengan bidang berkenaan. Contohnya dalam bidang ekonomi terdapat istilah-istilah khusus seperti permintaan, kos, modal, buruh dan susut nilai.
Contoh laras sains dalam bidang biologi : Sel-sel kelenjar kolon merembeskan mukus yang berfungsi dalam melicinkan pergerakan kandungan kolon ke arah rektum. Tidak terdapat enzim yang dirembeskan di bahagian kolon. Cecair yang dirembeskan bersifat alkali.
Laras Undang-Undang
Laras undang-undang merupakan salah satu daripada laras ilmiah yang terdapat dalam bahasa Melayu sejak zaman dahulu lagi. Bagaimanapun, pada hari ini, laras undang-undang lebih bersifat moden dan banyak menggunakan istilah teknikal.
Contoh : Defenden membantah pada awal prosiding kerana tidak bersetuju dengan cadangan plainitif untuk mengemukakan saksi-saksi yang dikatakan tidak relevan dengan perbicaraan brekenaan.
Laras Media Massa
Laras media massa kurang mementingkan gaya atau nahu, khususnya penggunaan imbuhan dan kata hubung. Bahasa yang digunakan bersahaja dan bersifat melaporkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Bahasanya juga ringkas dan mengandungi berita yang maksimum untuk dipaparkan kepada pembaca dan penonton.
Contoh : Perak menjuarai kejohanan bola sepak Piala Malaysia 1998 selepas menewaskan Terengganu dengan jaringan tipis 1-0 di Stadium Nasional malam tadi.
Laras Sestera
Seperti laras-laras bahasa yang lain, laras bahasa sastera juga mementingkan istilah-istilah khusus dan teknikal. Bezanya, bidang yang diperkatakan itu ialah mengenai bahasa dan kesusasteraan serta hubungan antara kedua-duanya.
Contoh : Apabila berbicara mengenai kesusasteraan, kita sebenarnya akan membincangkan beberapa aspek seperti tema, kronologi, mesej yang ingin disampaikan, watak dan perwatakan unsur termasuk personifikasi dan metafora.
Laras Rencana
Laras rencana adalah satu laras bersifat umum yang menyentuh mengenai tajuk tertentu. Ciri utama dalam laras rencana ialah kepelbagaian idea mengenai sesuatu tajuk yang diperkatakan.
Contoh : Oleh kerana baru dilancarkan, kejayaan model terbaru Proton, ‘Proton Satria GTi’ masih belum dapat diukur. Pelbagai aspek seperti pilihan pembeli, faktor reka bentuk, kemudahan mendapatkan alat ganti dan ketahanannya perlu diambil kira. Model terbaru ini pastinya berhadapan dengan pelbagai rintangan sebelum model ini berkemampuan untuk menguasai pasaran dalam dan luar negara.
KEPENTINGAN LARAS BAHASA
■ Laras bahasa amat penting.
■ Jumlah laras sesuatu bahasa mencerminkan keadaan bahasa itu dan dapat menjadi ukuran maju-mundurnya.
■ Perbandingan jumlah laras bahasa Melayu sebelum dan sesudah merdeka, misalnya dapat membuktikan hakikat bahawa bahasa Melayu telah mengalami perkembangan yang amat pesat – bertambah dengan pesat.
■ Penutur-penutur bahasa Melayu sewajarnya mengenali laras-laras utama bahasa Melayu.
■ Lebih penting mesti tahu membezakan antara laras formal dengan laras tidak formal supaya tidak timbul penggunaan laras yang tidak sesuai dengan situasi tertentu.
■ Kumpulan pemimpin dan mereka yang terlibat dengan media massa perlu sentiasa peka dengan penggunaan laras yang sempurna kerana kadang kala menjadi teladan.
■ Laras baru seharus dipelajari sebagai satu kemahiran. – Dicadangkan pada tahap persekolahan lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
sngat membantu sy...
ReplyDeleteterima kasih di atas perkongsian ilmu ini.
ReplyDeleteadakah contoh kosa kata dalam laras bahasa agama
ReplyDeleteSolat, zikir, quran. Lol im late but yeah. Ilmu
DeleteTq sangat membantu
ReplyDeleteterima kasih atas perkongsian ilmu
ReplyDeletemintak izin share :) tq
ReplyDeleteminta izin untuk share.. terima kasih
ReplyDeleteLAWA
ReplyDeleteBak kata mobile legend player (GG)
ReplyDeleteApa Tajuk buku ure &Ellis tu
ReplyDeleteBoleh saya tahu nama pengarang blog ni?
ReplyDeleteAwak dah tahu nama pengarang ni?
DeleteBoleh saya tahu nama pengarang blog ni?
ReplyDeleteAssalamualaikum ,boleh saya mintak bibliografi untuk definisi konsep. Harap dapat membantu. Tq .
ReplyDeleteAssalamualaikum. Salam sejahtera. Kalau tak keberatan, boleh saya tahu nama penulis blog ni? Terima kasih.
ReplyDeleteboleh saya tau nama penuh pengarang?
ReplyDeleteminta izin guna maklumat untuk buat assignment tuan/puan
ReplyDeleteterima kasih, info yang sangat berguna. semoga tuan dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. amin....saya copy sikit. heheh
ReplyDelete