Sunday, July 26, 2009

Pendidikan Formal, Informal & Non-Formal

Pendidikan Formal, Informal & Non-Formal


Pendidikan Kemahiran dahulu disebut Kelas Latih Kerja (1971) adalah satu aktiviti pendidikan non-formal. Aktiviti ini bertujuan memberi kemahiran dalam pelbagai jurusan secara non-formal khususnya kepada masyarakat luar bandar untuk meningkatkan kualiti hidup dan memupuk budaya niaga.

Antara kemahiran yang diajar adalah seperti :
1. Kraftangan buluh/tanduk
2. Pertukangan labu tanah
3. Anyaman pandan dan mengkuang
4. Tenunan
5. Jahitan
6. Sulaman
7. Tekat
8. Kaitan
9. Masakan
Pembangunan Modal Insan Koperasi
Bahagian I
DALAM usaha membangunkan negara, terutamanya masyarakat desa, berbagai-bagai agensi pembangunan telah diwujudkan oleh kerajaan. Agensi berkenaan, melalui ejen-ejen perubahannya mempunyai program tertentu untuk membangunkan masyarakat di mana golongan sasar (klien) berada. Usaha ini biasanya dijalankan melalui khidmat pembelajaran secara non-formal. Kerajaan juga telah memberikan peruntukan yang besar kepada sektor pendidikan dalam setiap rancangan pembangunannya.
Sejak Rancangan Malaysia Pertama hinggalah Rancangan Malaysia Kesembilan sektor pendidikan telahpun dianggap sebagai salah satu pelaburan yang penting dan terbaik untuk pembangunan negara, di mana salah satu teras dalam RM9 ialah Pembangunan Modal Insan.
Pembangunan Modal Insan yang berkesan memerlukan pendidikan yang terancang dan strategik dan tidak hanya terbatas kepada pendidikan di sekolah dan universiti tetapi kepada konsep pendidikan yang lebih luas skopnya melalui pendidikan sepanjang hayat (Life-Long Education).
Ramai pakar bersetuju bahawa konsep pendidikan seumur hidup mempunyai masa depan yang cerah. Ianya merangkumi semua aspek pendidikan iaitu pendidikan formal informal dan pendidikan non-formal. Bagi memudahkan perbincangan, konsep pendidikan formal informal dan non-formal perlu dijelas dan dibezakan.

Pendidikan Formal
Pendidikan formal bolehlah ditakrifkan sebagai proses pengajaran-pembelajaran yang dilaksanakan secara rasmi mengikut sistem yang ditetapkan oleh kerajaan. Proses ini berlaku di dalam sesuatu Institusi yang mempunyai struktur dari segi kronologi dan hirarki yang bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti dan mempunyai kurikulum yang disahkan oleh pihak berkuasa. Ini juga termasuk kursus-kursus pra-perkhidmatan di dalam bidang profesional dan teknikal seperti latihan perguruan, kejururawatan, juruteknik pertanian dan kursus perkhidmatan tadbir dan diplomatik. Proses pendidikan formal ini berakhir dengan penganugerahan sijil, diploma dan ijazah.
Pendidikan Informal
Pendidikan informal ialah proses pendidikan pembelajaran sampingan yang berlangsung secara spontan dan tanpa struktur. Seseorang itu akan memperoleh dan menambahkan pengetahuan, kemahiran dan membentuk sikap serta pandangan berdasarkan pengetahuannya tiap-tiap hari sama ada di tempat bekerja, di sekolah atau di tempat rekreasi. Umpamanya, jika seseorang mendapat pengalaman dan merubah perlakuan melalui membaca dan menonton televisyen, maka ia boleh dikatakan mendapat pendidikan informal daripada media massa. Pendidikan in-formal banyak disalurkan melalui media massa dan juga melalui interaksi dengan masyarakat.
Pendidikan Non-Formal
Pendidikan non-formal pula ialah pendidikan yang disusun dan dilaksanakan di luar daripada sistem pendidikan formal. Pendidikan ini boleh diperoleh melalui program seperti latihan, kursus dalam perkhidmatan, seminar, bengkel, forum dan persidangan. Menurut definisi yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pendidikan, sains dan kebudayaan (UNESCO), program pendidikan yang bercorak vokasional, teknikal dan kecekapan dikategorikan sebagai pendidikan non-formal di mana program tersebut menyediakan orang dewasa di dalam sesuatu bidang kerja yang baru.
Konsep utama pendidikan non-formal menekankan bahawa klientele program ini merupakan orang-orang dewasa dan belia yang telah keluar dari bangku sekolah (mereka yang terkeluar dari sistem pendidikan formal). Pendidikan ini disifatkan di luar sistem pendidikan formal. Mengikut Coomb dan Ahmed (1974), pendidikan non-formal ialah semua jenis aktiviti pendidikan yang tersusun (organised) secara sistematik yang dijalankan di luar sistem pendidikan formal yang bertujuan memberi pembelajaran yang terpilih untuk sesuatu kumpulan di dalam masyarakat.
Berdasarkan kepada definisi ini, disimpulkan bahawa pendidikan non-formal mempunyai ciri-ciri seperti berikut :
• Pendidikan yang berterusan;
• Pendidikan untuk “pembangunan diri dan kerjaya (self-development and career development);
• Pendidikan dilaksanakan di luar dari sistem pendidikan formal;
• Pendidikan dikaitkan dengan satu kumpulan klientele yang tertentu dan memenuhi satu matlamat pendidikan yang khusus. (Ini termasuklah pengembangan pertanian, program latihan untuk petani, program pembasmian buta huruf untuk orang dewasa, latihan kemahiran pekerjaan yang diberi di luar dari sistem pendidikan formal, dan pelbagai program pendidikan mengenai kesihatan, pemakanan, pembangunan keluarga dan koperasi).
Di dalam konteks Malaysia, pendidikan non-formal melibatkan tiga sistem utama iaitu sistem perlaksanaan (delivery system), sistem kepakaran (expert system) dan sistem klientele (clientele system). Interaksi ketiga-tiga sistem ini mempengaruhi polisi, pengurusan dan pentadbiran serta program pendidikan non-formal (Rajah 1).
Sistem Perlaksanaan
Sistem perlaksanaan adalah terdiri daripada mereka yang bertanggungjawab ke atas pembentukan dan perlaksanaan program pendidikan non-formal. Unsur-unsur di dalam sistem ini termasuklah organisasi-organisasi dan jawatankuasa-jawatankuasa di dalam semua peringkat program berkenaan.
Sistem Kepakaran
Sistem kepakaran (expert system) pula adalah terdiri daripada mereka yang bertanggungjawab ke atas fungsi penyelidikan dan latihan yang dijalankan oleh institusi pengajian tinggi dan institusi lain. Fungsi latihan memberi penumpuan terhadap latihan untuk jurulatih. Sistem kepakaran ini akan memenuhi keperluan input-input profesional di dalam pendidikan non-formal menerusi fungsi tersebut.
Fungsi latihan yang diberikan oleh sistem kepakaran adalah bertujuan untuk menentukan keberkesanan perlaksanaan latihan oleh jurulatih, pereka bentuk program dan pengurus pendidikan non-formal di dalam sistem perlaksanaan. Aktiviti latihan ini akan dilaksanakan oleh pakar-pakar di dalam pembangunan sumber manusia dan latihan daripada institusi pengajian tinggi.
Aktiviti kajian yang dilaksanakan oleh sistem kepakaran bertanggungjawab untuk menghasilkan data-data empirical untuk pembentukan polisi-polisi dan pengukuhan program. Pengukuhan program adalah aktiviti-aktiviti yang boleh memaparkan aspek saintifik pendidikan non-formal.
Sistem Klientele
Sistem klientele pula adalah terdiri daripada kumpulan sasar pendidikan non-formal di dalam organisasi yang berkaitan dengan sistem perlaksanaan. Contohnya ialah belia, wanita, petani, golongan miskin dan pekerja-pekerja kilang.
Berasaskan konsep yang dibincangkan, pendidikan non-formal menonjolkan beberapa prinsip penting dalam proses pendidikan iaitu :
1. Ia memberi peluang kepada semua orang untuk melibatkan diri dalam proses pendidikan seumur hidup.
2. Ianya merangkumi berbagai-bagai aspek kehidupan.
3. Ianya dijalankan secara fleksibel.
4. Ianya dijalankan oleh berbagai-bagai agensi dan institusi.
5. Ianya ditujukan kepada semua golongan masyarakat.
Masalah Dan Cabaran Pendidikan Non-Formal
Pendidikan non-formal ialah satu cara untuk mencapai objektif-objektif Rancangan Malaysia Ke-9. Dengan panduan polisi yang jelas serta usaha nasional yang bersungguh-sungguh di dalam pendidikan non-formal dan latihan, program-program pendidikan non-formal perlu dirangka untuk memenuhi objektif-objektif berikut :
1. Membentuk integrasi nasional dan keharmonian sosial melalui :
a. Pemupukan semangat nasionalisme, cinta dan bangga sebagai rakyat Malaysia.
b. Penerapan nilai positif seperti berdikari, produktif, moral yang tinggi, amanah, disiplin diri dan kerjasama.
c. Penghapusan jurang ekonomi dan sosial di antara kaum, jantina, sektor dan kawasan di dalam negara lain.
d. Pengurangan tanggapan perbezaan psikologi antara kaum, kawasan dan lain-lain.
2. Untuk meningkatkan produktiviti melalui penerapan etika kerja yang positif dan nilai-nilai murni.
3. Untuk meningkatkan kualiti hidup melalui amalan kesihatan yang betul, pengurusan sumber dan keluarga yang sempurna dan kebersihan serta, keselamatan persekitaran.
Kelemahan Program Agensi Awam
Masalah utama yang dapat diperhatikan dalam aspek amalan pendidikan non-formal dalam agensi kerajaan masa kini ialah :
1. Pengurusan Latihan tidak dijalankan oleh pegawai-pegawai yang terlatih. Ada pegawai yang tidak sesuai dengan tugas tersebut diberikan tanggungjawab sebagai pegawai latihan. Masalah ini menjadi bertambah rumit dengan pertukaran pegawai yang tidak mengambilkira fungsi yang di-jalankan. Amalan ini tidak meng-galakkan pembentukan pegawai latihan yang betul-betul cemerlang dari segi pengetahuan dan tugas.
2. Di masa kini tidak terdapat penyelarasan di peringkat nasional untuk program pendidikan non-formal. Ini menimbulkan keadaan di mana berlaku pertindihan dari segi peranan dan kumpulan sasaran di samping berlaku pembaziran wang dan tenaga. Kebanyakan program pendidikan non-formal yang dijalankan adalah berdasarkan keperluan agensi masing-masing dan ada kalanya bertindan lapis.
3. Sebaliknya penyelarasan pendidikan non-formal didapati telah mula wujud di peringkat organisasi. Walau bagaimanapun, kelemahan tetap wujud di peringkat organisasi seperti ketiadaan polisi pendidikan non-formal atau kurang peng-hayatan terhadap polisi-polisi pendidikan non-formal. Kerapkali juga, program latihan dilaksanakan secara ad-hoc menyebabkan program tersebut gagal mencapai matlamatnya.
4. Di peringkat agensi-agensi kerajaan yang memberikan khidmat latihan pendidikan non-formal, didapati program pendidikan non-formal yang dijalankan mempunyai skop yang luas atau kurang menumpukan kepada satu-satu bidang. Situasi ini menyebabkan program tersebut tidak dapat memenuhi keperluan organisasi berkenaan. Keadaan inilah yang menyebabkan tidak banyak agensi lain berminat melibatkan diri di dalam program yang disediakan.
5. Agensi latihan kadangkala tidak dapat memenuhi permintaan latihan yang dikemukakan oleh agensi tertentu dalam satu masa kerana tidak bersesuaian dengan peran-cangan masa dan kemampuan agensi latihan tersebut (kurang tenaga pengajar dan kemudahan-kemudahan tidak mencukupi).
6. Antara kelemahan yang terdapat dalam pendidikan non-formal masa kini ialah kandungan program yang dibuat tidak berdasarkan kepada ‘needs analysis’. Objektif dan kandungan program ditetapkan oleh pentadbir-pentadbir organisasi tersebut. Pembentukan program yang agak singkat sehingga tidak membolehkan pengumpulan maklumat yang cukup tentang keperluan dan sumber-sumber yang sesuai digunakan di dalam program tersebut.
7. Kebanyakan program latihan yang dilaksanakan tidak mempunyai kesinambungan serta tidak menitik-beratkan langkah-langkah susulan. Sebagai pegawai latihan, di antara peranan penting mereka ialah membuat penyelidikan dan doku-mentasi mengenai program-program latihan. Walau bagai-manapun, didapati perkara ini kurang diamalkan.
Pembangunan Modal Insan Koperasi
- Strategi Pengukuhan Program Pendidikan Non-Formal
oleh : Dato' Haji Aliasak Anbia
Bagi memantap pendidikan non-formal yang dianjurkan oleh berbagai-bagai agensi yang berkenaan, maka satu strategi pengukuhan program latihan pendidikan non-formal dicadangkan seperti berikut untuk dilaksanakan pada dekad 90-an.
1. Satu falsafah pendidikan non-formal perlu diwujudkan bagi meletakkan asas pemikiran yang kukuh dan memberi justifikasi serta arah tujuan nasional mengenai pendidikan non-formal bagi negara ini. Falsafah tersebut hendaklah mengambil kira pernyataan-pernyataan Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Negara, Dasar-Dasar Pembangunan Negara, Hak Asasi untuk mendapatkan pendidikan dan nilai-nilai murni yang diaspirasikan oleh negara.
2. Matlamat peringkat negara dalam pendidikan non-formal hendaklah ditentukan supaya semua program pendidikan non-formal akan menjurus ke arah matlamat tersebut.
3. Pernyataan mengenai konsep pendidikan non-formal berlatar-belakangkan keperluan peringkat negara haruslah diwujudkan bagi memberi gambaran kepada agensi yang terlibat dalam pendidikan non-formal bahawa program yang mereka anjurkan itu adalah berbentuk pendidikan non-formal dan bukannya program pendidikan formal.
4. Satu dasar pendidikan non-formal mestilah dibentuk berpandukan kepada falsafah dan matlamat pendidikan non-formal dan diperaku oleh pemerintah seterusnya dimaklumkan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam pendidikan non-formal untuk dijadikan panduan mereka.
5. Satu siri modul yang lengkap mengenai program-program pendidikan non-formal mestilah dibentuk dengan mengambilkira keperluan berbagai-bagai agensi dan memenuhi aspirasi negara. Untuk mencapai maksud ini, satu Jawatankuasa Pusat yang berfungsi untuk membuat perancangan, penyelarasan dan penilaian program pendidikan non-formal haruslah dibentuk terlebih dahulu. Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan non-formal. Peranan Jawatankuasa ini boleh diperluaskan lagi dengan berfungsi sebagai satu badan yang boleh menjadi pakar rujuk mengenai pendidikan non-formal, seterusnya berkeupayaan mengenalpasti sumber-sumber yang boleh digemblengkan untuk aktiviti pendidikan non-formal.
6. Semua program pendidikan non-formal mestilah dibentuk berdasarkan keperluan klientele.
7. Satu pertubuhan profesional pendidikan non-formal hendaklah dibentuk untuk memastikan tahap profesionalisme yang tinggi di kalangan pendidik.
8. Firma swasta dan pertubuhan profesional yang menganjurkan pendidikan non-formal mestilah lebih peka kepada tanggungjawab program yang mereka anjurkan. Maksudnya, mereka mestilah menawarkan program yang betul-betul berfaedah dan bertepatan dengan kehendak pelanggan serta selari dengan aspirasi negara dan bukan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.
9. Setiap program pendidikan non-formal yang dianjurkan oleh agensi kerajaan, firma swasta, badan profesional dan program tajaan agensi luar hendaklah dikendalikan oleh tenaga pengajar yang telah dikenalpasti terlatih dan pakar dalam sesuatu bidang.
10. Pengukuhan usaha-usaha pendidikan nonformal dan perkongsian sumber-sumber di antara agensi-agensi latihan adalah perlu untuk memantapkan lagi perlaksanaan program-program ini.
11. Latihan untuk jurulatih perlu diberi perhatian berat.
12. Perancangan mengenai latihan hendaklah dibuat awal untuk mendapatkan peruntukan yang mencukupi.
Penutup
Oleh kerana kerajaan telah memberi penekanan terhadap Pembangunan Modal Insan maka kerajaan tidak boleh menekankan hanya pendidikan secara formal tetapi Pendidikan Non-Formal harus juga diberi tumpuan dan dilengkapi dengan dasar dan sistem yang jelas. Oleh itu dicadangkan perkara-perkara di bawah diberi perhatian :
1. Menggubal polisi PNF negara.
2. Merangka satu program PNF yang komprehensif di mana perancangan, penyelarasan, perlaksanaan, pengawasan dan penilaian yang sistematik dijalankan.
3. Memberi latihan dalam aspek methodologi pengajaran pem-belajaran non-formal kepada pendidik/pelatih/ejen perubahan supaya mereka dapat men-jalankan program ini dengan cekap.
4. Memberi latihan dalam pen-yediaan bahan pembelajaran dan alat bantuan mengajar dan seterusnya menyediakan bahan tersebut dengan mencukupi.
5. Menjalankan penyelidikan yang bersesuaian untuk menyokong aktiviti PNF.

3 comments: